October 15, 2014

Jauhi Tujuh Perkara Boleh Menjadi Isteri Yang Nusyuz

Jauhi Tujuh Perkara Boleh Menjadi Isteri Yang Nusyuz

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Perkahwinan adalah jalinan ikatan yang sah di antara lelaki dan perempuan untuk menjadi suami isteri. Dengan adanya ikatan perkahwinan ini, terdapat hak-hak yang perlu dijaga dan ditunaikan oleh pasangan suami isteri. Antara hak-hak isteri ke atas suami ialah suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri yang meliputi keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Bagi isteri pula, terdapat hak suami ke atasnya yang wajib dilaksanakan iaitu isteri wajib taat dan melakukan segala perintah suaminya selagi perintahnya itu tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu. Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Quran, dan juga dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu Wa Ta‘ala sahaja dan tidak pada yang lainnya.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya yang bermaksud : “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.”

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi‘eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.

Terdapat tujuh perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah seperti berikut:

Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

Peristiwa ini pernah berlaku dizaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya. Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.

Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.

Ketiga : Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau letih bukan alasan yang menasabah.

Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

Keenam : Isteri mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Ketujuh : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain, selalu chatting, talipon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya.

Sahabat yang dimuliakan,

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dengan berbuat nusyuz itu, hak isteri terhadap nafkah dan qasm iaitu hak giliran bermalam bagi isteri yang mempunyai lebih dari seorang isteri yang wajib ditunaikan oleh suaminya kepada isterinya akan gugur.

Islam telah menggariskan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh suami dalam menangani dan menghadapi masalah nusyuz isteri ini:

1. Ketika nampak tanda-tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling padahal kebiasaannya dia menampakkan muka yang manis kepada suaminya atau dengan percakapan seperti isteri menjawab suaminya dengan suara yang kasar padahal kebiasaannya dia bercakap dengan lemah lembut kepadanya, maka sunat ke atas suami memberi nasihat. Ini adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)

Antara cara menasihati isteri yang ditakuti berlaku nusyuz sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama:

- Menasihati isterinya dengan berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah pada perkara-perkara hak-hak yang wajib untukku ke atasmu dan beringat-ingatlah akan akibat jika engkau tidak melaksanakannya.”

-Menjelaskan kepada isteri bahawa nusyuz boleh mengugurkan (hak) nafkah dari suami dan hak giliran bermalam di rumah isteri bagi suami yang mempunyai lebih dari seorang isteri.

- Menyebut hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu sebagaimana yang disebutkan di atas mengenai isteri yang nusyuz.“Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

- Adalah sunat juga bagi suami berbuat baik kepada isterinya itu dan mengambil hatinya dengan memberinya sesuatu.

2. Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyuznya.

Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

(Surah an-Nisa: 34)

Walaupun suami dibenarkan untuk memukul isteri, namun Islam juga memberi garispanduan tentang cara memukul agar pukulan suami tidak mendatangkan mudharat kepada isteri, iaitu suami tidak boleh memukul isteri dengan pukulan keras, tidak boleh memukul pada wajah dan pada anggota-anggota isteri yang mudah cedera.

Tujuan pukulan tersebut adalah bagi maslahah suami sendiri iaitu supaya isteri kembali taat semula kepadanya. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika suami tidak memukul isteri jika dirasakan tidak perlu.

Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami. Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri berlaku nusyuz terhadap suaminya.

Isteri juga diperintahkan untuk menjaga kehormatan dirinya dan harta suami ketika ketiadaan suaminya kerana yang sedemikian itu adalah perilaku seorang isteri solehah sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya : “Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika ( suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka) ”(Surah an-Nisa: 34)

Sesungguhnya ganjaran Allah Subhanahu Wa Ta‘ala terhadap isteri yang solehah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah radhiallahu ‘anha yang bermaksud : “Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi )

Sebagai seorang isteri, rebutlah peluang mudah untuk memasuki syurga iaitu dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dan RasulNya serta dengan mentaati suami.

Sahabat yang dikasihi,

Para isteri wajiblah mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri di belakang suaminya. Berdosa besar apabila seorang isteri menderhaki suaminya, begitu juga haram seorang wanita yang telah bersuami bercinta dengan lelaki lain melalui facebook atau talipon bimbit. Jauhkan diri kalian daripada menjadi isteri nusuz kerana isteri nusuz tidak akan mencium bau syurga, jika kalian mati tidak mendapat redha suami kalian tidak akan mendapat redha Allah SWT, kerana redha Allah SWT bergantung kepada redha suami kalian.

Tetapi sekiranya kalian memiliki suami yang bengis (sering memukul isteri tanpa kesalahan besar) dan tidak bertanggungjawab kerana tidak memberi nafkah maka kalian perlulah menasihatinya dahulu, jika tidak berkesan maka kalian perlulah mengadu di pejabat agama untuk mendapat pembelaan dan jika perlu menuntut fasakh atau tebus talak. Jika kalain tercedera sila buat pemereksaan doktor kerana lapuran perubatan sebagai bahan bukti apabila berlaku perbicaraan dimahkamah syariah nanti dalam kes tuntutan fasakh.

Setiap suami perlulah mendidik isterinya supaya dia menjadi isteri yang solehah, pastikan isteri menutup aurat dan diberi didikan agama yang mencukupi kerana tanggunhjawab tarbiah adalah tanggungjawab suami. Jika suami biarkan isterinya keluar rumah dengan mendedahkan aurat atau suami tidak prihatin isterinya bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya dikhuatiri suami akan menjadi suami yang dayus sesungguhnya suami yang dayus tidak akan mencium bau syurga.

sumber : http://nor89.blogspot.com/2012/02/jauhi-tujuh-perkara-boleh-menjadi.html

June 26, 2014

Bersyukurlah kita masih ada semuanya.. Jambatan ini 'syurga' kami'

Jambatan ini 'syurga' kami'

Julaina menceritakan detik-detik hitam sepanjang menghuni di bawah jambatan Sungai Klang, Kuala Lumpur sehinggalah mereka memperoleh sebuah rumah bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
BEGINILAH keadaan pada waktu malam Julaina (kiri) dan empat anaknya yang tidur bertemankan cahaya lilin di bawah Jambatan Lebuh Pasar.


DI bawah jambatan konkrit yang terletak di Lebuh Pasar Besar berhampiran Pasar Seni, Kuala Lumpur itu tiada apa-apa yang menarik untuk diperkatakan. Apa yang ada cuma bau busuk daripada Sungai Klang berwarna kuning coklat, longkang yang menyalurkan air buangan ke dalam sungai dan sampah sarap serta rumput-rumput yang tumbuh meliar di celah-celah lantai konkrit itu.
Namun, dari jauh kelihatan beberapa kanak-kanak sedang galak bermain. Sesekali terdengar hilai tawa mereka. Riang menikmati zaman kanak-kanak.
Seorang wanita berusia awal 30-an yang sedang duduk bersimpuh nampak asyik melihat telatah kanak-kanak itu. Nampak gembira di sebalik susuk tubuhnya yang begitu kurus.
Wanita itu, Julaina Jalil, cukup gembira dapat melihat keempat-empat anaknya berada di depan mata walaupun jauh di sudut hatinya begitu kecewa kerana tidak dapat mengurniakan kehidupan yang lebih baik buat mereka.
Anak-anaknya juga seakan-akan faham situasi yang sedang dihadapi keluarganya. Meskipun tidak pernah merungut namun jauh di sudut hati mereka ingin bersekolah dan hidup selesa seperti orang lain.
Suami Julaina yang hanya, mahu dikenali sebagai Bob Komando pula kelihatan tidak bermaya. Badannya kurus dan muka cekung, cukup untuk menggambarkan penderitaan yang dihadapinya.
Selain hidup bergelandangan, Bob juga khabarnya menderita penyakit kanser usus tahap ketiga yang dikesan sejak 15 tahun lalu.
Kisah hidup bergelandangan mereka bermula apabila lelaki ini meninggalkan kerja-kerja kongsi gelap yang pernah disertainya.
Menurut Bob, dia mesti memikirkan masa depan keluarga. Walaupun pernah hidup mewah, tetapi hidupnya tidak tenang dan ada sahaja yang memusuhi.
"Jadi, saya membuat keputusan untuk cuci tangan. Saya mahu bertaubat dan meneruskan kehidupan baharu," luahnya ketika ditemui baru-baru ini di kediamannya.
Enggan mengulas tentang sejarah hitam yang ingin dilupakan, Bob dan keluarga pernah mendiami sebuah rumah di kawasan setinggan, Selayang sebelum rumah tersebut dirobohkan.
Tidak mempunyai pilihan lain, Bob membawa isteri dan anak-anaknya bersama beg pakaian mereka hidup bergelandangan.
Walaupun hidup bergelandangan, Bob yang mempunyai empat orang anak tidak pernah mengajar mereka untuk meminta-minta atau mengemis. Sebaliknya, dengan sisa kudratnya yang masih ada, Bob yang berusia awal 40-an itu cuba mencari kerja bagi menyara keluarganya.
Episod duka

EMPAT beradik yang hidup bergelandangan ini hanya mampu melihat sisa makanan di bawah Jambatan Pasar Besar, Kuala Lumpur.


Seperti mendapat sinar baharu, Bob yang ditawarkan menjadi pengawal keselamatan begitu gembira kerana ada punca pendapatan untuk membelikan makanan kepada isteri dan anak-anaknya berusia 10 hingga empat tahun itu.
Namun, episod duka keluarga ini tidak berakhir di situ. Bob telah ditipu majikannya apabila dia bekerja tanpa dibayar gaji. Tidak mahu terus diperbodohkan, Bob mengambil keputusan berhenti kerja.
Bagi mencari sesuap nasi, dia dan keluarga mengutip barangan terpakai dan menjualnya untuk mendapatkan duit.
"Hasil jualan tidaklah banyak. Secara purata, RM7 sehari. Dengan duit itu, saya akan membeli nasi berlauk kuah kari dan dimakan bersama anak-anak.
"Makanan itu tidaklah sampai mengenyangkan perut kami. Tapi cukup untuk hilangkan rasa lapar dan memberikan tenaga untuk esok hari," kongsi anak kota itu. Bob mahupun Julaina merupakan pasangan sebatang kara. Ibu bapa kedua-dua pasangan tersebut sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Julaina berkata, pada hari pertama tanpa rumah dan berada di sekitar ibu kota, dia berasa sangat malu dan sangat hina.
"Perasaan hidup tanpa rumah dan merempat di tepi-tepi lorong itu membuatkan saya rasa begitu malu. Seperti semua orang yang lalu lalang itu sedang memandang kita dengan perasaan jelik.

ANAK sulung Julaina (kanan) teruja melihat sekumpulan pelajar berpakaian seragam sekolah di Lebuh Pasar Besar Kuala Lumpur baru-baru ini.


"Saya tebalkan muka dan cekalkan hati. Saya percaya semua yang berlaku pasti ada hikmah," ujarnya.
Setelah beberapa hari berada di tepi-tepi bangunan, keluarga ini kemudiannya menjumpai kediaman baharu iaitu di bawah jambatan konkrit tersebut.
Kehidupan di bawah jambatan disifatkan Julaina jauh lebih baik berbanding berada di lorong-lorong sebelum ini.
"Jambatan inilah 'syurga' kami. Pengalaman berada di sini sangat bermakna dan menyimpan pelbagai memori yang tidak mungkin akan kami lupa," tegasnya.
Kediaman yang dianggap syurga itu berada di tepi sungai yang kotor dan saluran longkang yang kadangkala mengeluarkan bau busuk.
Namun, dengan air longkang yang busuk itulah Julaina dan keluarganya membersihkan diri daripada keringat peluh setelah seharian mencari bahan buangan.
Bagi mereka, kotor atau tidak bukanlah menjadi keutamaan, tetapi berasa segar setelah badan bersentuh air adalah nikmat yang tidak boleh mereka nafikan.
Jelas wanita ini, air longkang yang jatuh ke dalam sungai itu seperti bunyi deruan air terjun yang melenakan tidur mereka.
Meskipun tidur hanya beralaskan kotak dan kertas dan sesekali digigit nyamuk, ia tidak mengganggu mimpi mereka.
"Bau busuk, bunyi air dan cengkerik, gigitan nyamuk serta bunyi bising daripada kenderaan yang lalu lalang di atas jambatan itu seperti irama yang membuatkan kami mengantuk dan diulit mimpi.
"Ruang yang terbuka juga membenarkan angin menyapa tubuh kami. Kami tidak pernah berasa bahang panas. Cuma kami perlu beringat ketika hujan turun," ceritanya yang mempunyai anak kelainan upaya berusia 10 tahun.
Kesempitan

SELAMA setahun baju-baju keluarga ini dijemur berhampiran 'kediaman' mereka iaitu berhampiran Jambatan Pasar Besar.


Cerita Julaina, ketika hujan lebat, air sungai tersebut akan melimpah dan membanjiri lantai yang menjadi alas tidur mereka.
Mereka sekeluarga akan memanjat tangga yang tingginya kira-kira tiga meter untuk naik ke bahagian atas jambatan.
Pernah sekali Bob Komando terjatuh ketika mahu memanjat tangga tersebut kerana licin. Kesannya, dia masih terasa sakit sehingga sekarang akibat tulang jari kanannya terseliuh dan retak.
Dalam keadaan kesempitan hidupnya, Julaina masih mempunyai belas kasihan. Dia pernah membenarkan seorang remaja perempuan yang lari dari rumah untuk berteduh di 'kediamannya.'
Bak melepaskan anjing tersepit, pertolongan itu telah membawa padah kepada keluarganya. Gadis itu telah berpakat dengan teman lelakinya untuk menculik anak-anak Julaina.
Kejadian yang berlaku pada bulan Mac lalu masih segar dalam ingatan anak-anaknya yang masing-masing berusia 10, 9, 5 dan 4 tahun.
Jelas salah seorang anaknya itu, pada awalnya gadis tersebut mengajak mereka berkelah di kawasan air terjun.
"Kereta yang dipandu membawa kami semakin jauh hinggalah kami sedar yang kami bukan dibawa untuk berkelah sebaliknya diculik," katanya yang bercita-cita untuk menjadi peguam.
Ibunya yang cepat sedar kehilangan anaknya telah menghubungi pihak polis dan Rakan COP untuk mengesan kereta yang membawa anak-anaknya yang akhirnya menemukan mereka di Nilai, Negeri Sembilan.
Sejak itu, Julaina bertekad untuk tidak mudah mempercayai orang lain. Selepas setahun hidup di bawah jambatan, Julaina dan keluarganya sudah meninggalkan 'syurga' mereka. Keluarga bertuah ini telah menerima bantuan sewa rumah baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur. Mereka baru tiga minggu menetap di rumah tersebut.
Kini, Julaina dan suami sedang merancang untuk mengusahakan perniagaan untuk menyara keluarganya.
"Saya juga mahu memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Saya mahu impian mereka untuk belajar di sekolah menjadi kenyataan," kongsinya mengakhiri perbualan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz35htNkrWm 
Hakcipta terpelihara 

June 23, 2014

Subhanallah, Walhamdulillah..Bertuahnya Ibu Mengandung


Subhanallah, Walhamdulillah..Bertuahnya Ibu Mengandung..

Subhanallah, Walhamdulillah..Menitis air mata saya tatkala merenung hikmah di sebalik kurniaan Allah terhadap ibu yang mengandung. Dan itulah yang saya mahu kongsikan dengan pembaca dalam entry kali ini..

1.  Apabila seorang wanita hamil, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT akan mencatatkan
baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

2.  2 rakaat solat seorang wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat seorang wanita yang tidak hamil.Rasulullah menyebutkan bahawa dua rakaat solat wanita hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil. Ini kerana wanita yang hamil membawa janin di dalam perutnya di mana janin berkenaan turut menyertai ibunya solat, mendengar bacaan-bacaan solat, ikut sujud bersama.

3.  Wanita hamil perolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari.  Rasulullah menyatakan bahawa wanita hamil akan memperolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari. Ini disebabkan kerana ibu yang hamil bererti membawa amanah Allah ke sana ke mari, sehingga wajar apabila ia memperolehi pahala yang besar di sisi Allah .

 4. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT akan mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

  5., Wanita yang bersalin akan mendapat 70 tahun solat dan puasa pada setiap kesakitan pada satu uratnya akan dikurniakan oleh Allah SWT satu pahala haji.

6.  Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

 7. Sekiranya seorang wanita meninggal dunia di dalam tempoh 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

   8.    Jika seorang wanita menyusukan anaknya hingga cukup tempoh (2 1/2 tahun), malaikat-malaikat di langit akan mengkhabarkan berita gembira bahawa syurga wajib baginya.

9 Jika seorang wanita menyusukan anaknya yang menangis, maka Allah SWT akan memberikan pahala satu tahun solat dan puasa.

 10.    Seorang wanita yang menghiburkan hati anaknya maka Allah SWT akan memberikan 12 tahun pahala ibadat kepadanya.


















March 09, 2014

Mengapa MH370 Boleh Hilang Tiba-Tiba? - Pakar

Mengapa MH370 Boleh Hilang Tiba-Tiba? - Pakar

PETALING JAYA - Walau apa pun yang berlaku terhadap pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines yang hilang, yang pastinya sesuatu perkara telah berlaku secara tiba-tiba kerana juruterbang mempunyai beberapa cara untuk mendapatkan bantuan, kata juruterbang bersara Kapten Lim Khoy Hing.
Beliau berkata juruterbang biasanya menggunakan komunikasi radio VHF, yang mempunyai jarak liputan terhad sehingga 402km.
Untuk komunikasi jarak jauh, beliau berkata mereka menggunakan komunikasi radio HF yang mempunyai jarak liputan yang lebih luas, melebihi 1,609 km.
Pilihan lain adalah menggunakan ‘Controller-pilot data link communication’ (CPDLC) untuk mengisytiharkan kecemasan.
“Dalam kes ini, B777 -200 dilengkapi dengan CPDLC. Para juruterbang akan dapat berkomunikasi dan mengatasi pelbagai masalah, jadi ini memberitahu anda sesuatu mesti telah mengganggu mereka daripada membuat panggilan ini,” katanya kepada The Star Online.
Kapten Lim berkata pada ketinggian 35,000 kaki penerbangan MH370 yang dilapor telah terputus hubungan, juruterbang akan memerlukan sekitar lima minit untuk turun ke tahap yang selamat, 10,000 kaki.
Katanya, pada ketinggian ini penumpang tidak perlu menggunakan topeng oksigen, sambil menambah ini juga memberikan masa kepada juruterbang untuk membuat panggilan kecemasan.
“Juruterbang dilatih untuk membuat panggilan kecemasan sebaik sahaja mereka menghadapi berada dalam keadaan cemas. Semua orang di ruang udara yang sama pada frekuensi yang sama akan mendengarnya dan keutamaan akan diberikan kepada kapal terbang supaya ia dapat mendarat dengan selamat,” katanya.
Kapten Lim, yang mempunyai sembilan tahun pengalaman terbang dengan model B777- 200 MAS bersetuju dengan pakar-pakar penerbangan Amerika yang ditemuramah di CNN bahawa kehilangan pesawat berlaku di titik penerbangan yang paling selamat di.
Beliau berkata ini disebabkan beberapa faktor, termasuk fakta bahawa ia berada di mod ‘pelayaran’ pada kuasa dan kelajuan tetap.
“Hal yang paling berbahaya dalam penerbangan adalah pelepasan dan pendaratan kerana terdapat banyak pemboleh ubah. Di samping itu, B777 -200 adalah salah satu pesawat yang paling selamat kerana teknologi yang moden,” kata Kapten Lim, yang memulakan kerjayanya pada tahun 1967 sebelum bersara pada tahun 2011.

Pesawat Boeing 777-200 MAS dilaporkan hilang

WARGA AUSTRIA DAN ITALI YANG TERSENARAI SEBAGAI PENUMPANG MH370 DISAHKAN TIDAK MENAIKI PENERBANGAN TERSEBUT, TUMPAHAN MINYAK DI KAWASAN MH370 HILANG

Cable News Network (CNN) melaporkan, jurucakap Kementerian Luar Austria, Martin Weiss memberitahu warga Austria yang disenaraikan sebagai penumpang MH370 berada dalam keadaan selamat dan tidak menaiki penerbangan tersebut. Passport warga Austria itu dilaporkan telah dicuri dua tahun lalu.

Aldo Amati, jurucakap Kementerian Luar Italy juga memberitahu yang warganya ang tersenarai juga selamat, dan passportnya juga sebelum ini telah dicuri.

Sementara itu, Associated Press melaporkan yang Tentera Udara Vietnam telah mengesan tumpahan minyak di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 MAS dilaporkan hilang awal pagi tadi.

(Gambar tumpahan minyak itu seperti yang dikeluarkan oleh media Vietnam,Thanh Nien)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...